Keputusan TNCBL-21: MJBowlers Meraih Tempat Keempat Keseluruhan Liga

Jeddah, 16 Disember 2018 – Tuesday Night Conference Bowling League (TNCBL) anjuran FEDBG dibawah pimpinan Pip Planas, telah melabuhkan tirai untuk siri ke 21 baru-baru ini bertempat di Bowling City. Juara pada kali ini adalah pasukan Daylights, yang diketuai oleh Lito Zamudio, selepas mengalahkan juara bertahan pusingan lepas, Kolokoy yang diketuai oleh Engr. Ernie Geslani.

Untuk siri 21 ini, pasukan MJBowlers diketuai oleh Haji Rohaizat Kamisan, sambil dibantu oleh Kapten Utama MjBowlers Abdul Rashid sebagai penasihat pasukan. Perjalanan sepanjang liga agak mencabar kali ini, dan selepas 14 minggu bertarung di pentas awal liga, pasukan MJBowlers menempatkan diri di tempat ketujuh usai pusingan kelayakan. Namun ini tidak mematahkan semangat juang pemain-pemain MJBowlers untuk bertempur di medan play-off bersama-sama 4 pasukan lain, untuk merebut tempat ke pusingan akhir step-ladder.

Pada pusingan play-off yang berlangsung pada 4 Disember 2018, Kapten Rohaizat membariskan Mohd Sharizan (Oto) di posisi driver, dibantu oleh Azami Nordin, Mazlan dan Wan Kamal di posisi anchor. Acong (Mohd Nazrey) pula bertindak sebagai “hiding player”. Aksi cemerlang dari Oto dan Azami pada malam itu membuahkan hasil untuk membantu pasukan MJBowlers layak ke pentas akhir step-ladder di tempat teratas, diikuti oleh pasukan JBS Pro S.

MJBowlers melayakkan diri ke pusingan akhir step-ladder di tempat teratas.

Berlangsung pada 11 Disember 2018, format akhir step-ladder ini memerlukan pasukan-pasukan berentap secara “head-on”, di mana kemenangan perlu dicapai untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Di game pertama, MJBowlers bertembung dengan pasukan JBS Pro S yang diketuai oleh pemain veteran Edward Botardo dan dibarisi oleh Andy Yumena, Cesar Pagtaluna dan Eric Columa. MJBowlers menurunkan barisan pemain-pemain yang sama sewaktu pusingan play-off iaitu Oto, Azami, Mazlan dan Kamal. Aksi cemerlang pemain-pemain MJBowlers berjaya menundukkan pasukan JBS Pro S dengan jumlah mata 833 berbalas 787, untuk menempah tempat ke pusingan seterusnya.

Pusingan Akhir Stepladder Game 1: MJBowlers menumpaskan JBS Pro S dengan mata 833 berbalas 787

Penukaran strategi telah dilakukan untuk pusingan seterusnya, dimana satu-satunya pemain kidal lelaki MJBowlers Azizan Abdul Aziz, beserta Kapten Utama MJBowlers Abdul Rashid turun ke medan pertempuran, menggantikan Azami dan Mazlan. Lawan untuk pusingan kedua adalah pasukan AFCO, yang diketuai oleh pemain berpengalaman Rey Beltran dan dibarisi oleh pemain-pemain berkaliber Pancho Cuevas (Choi), Ruel Santoc dan Ian Caringal. Persaingan sengit diberikan semasa pertembungan ini, namun MJBowlers tewas dengan jumlah mata 864 berbalas 926.

Pusingan Akhir Stepladder Game 2: MJBowlers tumpas kepada AFCO dengan mata 864 berbalas 926

Walaupun tidak memenangi kejohanan liga pada kali ini, pencapaian pasukan MJBowlers di bawah pimpinan Haji Rohaizat boleh dibanggakan selepas menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan liga. Semoga keputusan ini menjadi pencetus semangat dan pemangkin untuk pemain-pemain MJBowlers berusaha mencapai lebih kejayaan di masa depan, InshaAllah. Pasukan MJBowlers ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih buat Coach Mus (Shawall Mustafa) yang tidak jemu memberikan bimbingan dan dorongan sepanjang kejohanan kali ini. Sumbangan dari rakan-rakan pemain MJBowlers sepanjang kejohanan ini juga adalah amat dihargai: Suhaimie Leong, Azmi Junaidi, Ahmad Sharifuddin, Nur Yazid, Zulkhairi Mat dan Yusrifiltri Mohd Yunos. Tidak lupa juga penghargaan buat ahli keluarga MJBowlers yang turut datang memberikan sokongan sepanjang kejohanan ini.

Untuk pusingan ke-22 TNCBL, pasukan MJBowlers akan di pimpin oleh pemain berbakat tinggi, Azmi Junaidi, serta dibantu oleh Azizan Abdul Aziz. Semoga kejuaraan milik MJBowlers pula kali ini, InshaAllah.

MJBowlers: Respect All, Fear None, Roll High.

~WKA~