Iftar MJBowlers Ramadhan 2019

JEDDAH Malam 23 Ramadhan 1440: Sudah menjadi tradisi MJBowlers sepanjang Ramadhan setiap tahun, Alhamdulillah, malam tadi adalah malam terakhir majlis berbuka puasa keluarga besar ini di Jeddah. Tahun ini bermula daripada 6 Ramadan, setiap keluarga & individu berkongsi rezeki untuk menjamu tetamu berbuka puasa tidak mengira darjat atau usia.

Iftar Perdana MJBowlers semalam melabuhkan tirai tradisi turun temurun ini. Masing-masing mengenakan baju Melayu dan ada yang lengkap bersampin mewujudkan bibit-bibit suasana di Hari Raya. Saudara Affendy Zulkifli (serta keluarga) merangkap sponsor kita dan Presiden Kesatuan Malaysian Hijazi memulakan majlis dengan bacaan doa sebelum majlis iftar dimulakan.

Pelbagai kuih-muih “potluck”, mee kari dan mee bandung hasil kelolaan dan masakan Puan Wan Surita dan suami, Kapten MJBowlers Abdul Rashid Rahmandisajikan buat para tetamu barakah sebelum solat Maghrib berjemaah di masjid Al Qarni di depan rumah.

Usai solat, nasi ayam dan sup ekor pula menjadi jarahan kami dan rata-ratanya setuju nasi ayam melangkaui kehebatan Chicken Rice Shop di tanahair.

Saudara Yusrilfitri Mohd Yunos dan Wan Kamal Azlan menyempurnakan majlis dengan sesi mengambil gambar dan video secara kandid dan berkumpulan sebelum sesi bergambar bersama keluarga oleh saudara Azmi Junaidi.

Begitu meriah majlis kali ini diselang-selikan dengan lagu-lagu raya yang menusuk kalbu teringat ibu bapa dan keluarga di kampung Malaya. Ramai yang tidak dapat pulang beraya kali ini akibat tugasan dan persekolahan anak-anak yang bertindih dengan perayaan Eid Fitri.

Majlis disudahi dengan penyampaian hadiah penghargaan kepada tuan rumah yang menyediakan tempat beriftar tahun ini saudara Kapten dan juga isterinya yang berhempas pulas menjadi Chef hebat. Hadiah ditaja oleh keluarga MJBowlers yang bertugas di Panda. Ucapan terima kasih oleh Kapten melengkapkan majlis menyarankan tradisi ini diteruskan dan ukhwah berkekalan.

Terima kasih diucapkan kepada hos & chef untuk iftar 2019, Kapten Rashid & Kak Eita. Terima kasih juga kepada semua keluarga & individu yang turut serta memeriahkan majlis iftar pada tahun ini.

“Takbir! Allahuakbar!” Oto Shah berseloroh dan disambut baik oleh pejuang penyatuan ummah.

Ya Rabb, satukanlah hati2 kami kerana Mu Ya Allah. Kekalkanlah ukhwah yang terjalin ini hingga ke Jannah, InshaAllah.

BarakAllah Fikum

-Jeg Hui, yang masih terngiang-ngiang lagi dengan koleksi lagu-lagu raya semalam.

PR, MJBowlers.