The Synergy International dinobatkan sebagai Juara ICBL 2018.

Bowling City -Jeddah, Pertandingan ICBL siri yang ke 39 ini melabuhkan tirai hari semalam dan TSI telah dinobatkan sebagai juara baru bagi tahun 2018 ini.  Penyertaan pasukan “The Synergy International” (TSI) adalah yang ulung kalinya bagi siri ke 39 ini dan pasukan ini dibarisi oleh pemain yang dianggap “underdog” jika dibandingkan dengan penyertaan pasukan yang lain dalam kejohanan ini.

Menyorot di awal-awal musim ke 39 ini, TSI begitu konsisten dari minggu pertama lagi dan sentiasa berada di kelompok atas pungutan mata pada setiap minggu. Malah TSI telah berjaya membolot beberapa gelaran dan anugerah pada kejohanan ini seperti mengumpul 7 kali/ minggu gelaran  “Team of The Week”. Beberapa pemain TSI juga mendapat gelaran “Bowler Of The Week”

Perjalanan melangkah ke pentas akhir ICBL 2018 ini  bukanlah satu tugas yang mudah bagi pemain, namun dengan komitmen, kesungguhan dan konsisten permainan dari seawal musim mampu melonjak pasukan ini di kedudukan teratas liga dan jauh meninggalkan pasukan-pasukan lain. Ini dapat dilihat pada minggu-minggu terakhir  pasukan TSI menjarakkan diri dengan meninggalkan pencabar terdekat  Lance &3Rdy dengan 55 mata  dan Ekis Reload dengan 114 mata.

Pada final step ladder  TSI bertemu dengan Ekis Reload, yang telah berjaya menjinakkan Lance &3Rdy di persaingan sebelumnya. Ekis Reload dibarisi pemain yang begitu pengalaman seperti Zaldy, George,Alma, Malu dan Faisal. Manakala bagi TSI dibarisi pemain  Tariq, Grace, Azzhanawati, Wan Kamal dan Mustafa.

Pasukan Ekis Reload berjaya membuat jatuhan pin sebanyak 899 hasil dari balingan Zaldy (174),Alma (179),George (186), Malu (172) dan Faisal (188). TSI agak tertekan dengan kesungguhan juara bertahan ICBL 2017 iaitu Ekis Reload ini  yang mempamerkan permainan yang begitu baik di peringkat awal sebelum pertembungan dengan TSI di pentas akhir. Tariq yang mempunyai kelas A hanya mampu membuat jatuhan pin sebanyak 166 diikuti oleh Azzhanawati yang juga agak gugup di pentas akhir ini dan hanya mampu membuat jatuhan pin sebanyak 165. Wan Kamal yang begitu sinonim dengan gelaran “Bulldozer” berjaya membuat jatuhan pin sebanyak 199 dan berjaya menyerap tekanan dari penyokong Ekis Reload. “Game Changer” datang dari Grace yang berjaya membuat  jatuhan pin sebanyak 174 yang membuat “double strike” di frame 10. Manakala Mustafa yang ditugaskan sebagai “Anchor’ team tidak mengecewakan dan meletakkan TSI sentiasa di hadapan pada setiap frame balingan. Mustafa berjaya membuat jatuhan pin sebanyak 201 dan sekaligus berjaya menghalang Ekis Reload menggondol kejuaraan berganda untuk musim 2018.

TSI berjaya dinobatkan sebagai Juara ICBL bagi musim 2018 ini dengan mengalahkan Ekis Reload dengan jatuhan pin 905, perbezaan 6 mata sahaja “scratch points” pada final ICBL ini.  Di bawah ini disertakan illustrasi Step ladder final 2018.