TNCBL-22 Minggu 12: Bahang Liga Semakin Terasa

Jeddah, 24 April 2019 – Liga malam Selasa masuk minggu ke-12, dan perlawanan antara pasukan2 merebut tempat teratas liga semakin sengit. Perlawanan minggu ke-12 liga TNCBL siri ke-22 telah berlangsung di Bowling City, pada 23 April 2019, menemukan pasukan MJBowlers dengan JBS-Pro S.

Pasukan JBS-Pro S membariskan Jimmy Aragones di posisi “driver”, Eric Columa, Cesar Pagtaluna, dan Mhon Laxamana di posisi “anchor”, sementara kapten pasukan Edward Botardo bertindak sebagai pemain “hiding”. Bagi menangani strategi ini, pasukan MJBowlers menurunkan Azami Nordin di posisi “driver”, Wan Kamal, Abdul Rashid, dan Oto Shah di posisi “anchor”. Kapten liga malam Selasa, Azmi Junaidi pula bertugas di posisi “hiding”.

Nyata perlawanan antara kedua2 pasukan ini sengit, apabila saling berulang kali bertukar jumlah jatuhan pin pendahuluan sepanjang perlawanan pada malam tersebut. Walaupun diberikan tentangan yang hebat, gandingan mantap MJBowlers berjaya mengutip mata penuh perlawanan, 22 berbalas kosong. Dengan tambahan jumlah mata ranking sebanyak 15 mata, MJBowlers berjaya mengumpul sejumlah 37 mata liga pada malam tersebut. Azami Nordin muncul MVP untuk pertembungan ini dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 665, diikuti oleh Oto Shah (646), Wan Kamal (614), Abdul Rashid (608) dan Azmi Junaidi (562).

Dengan jumlah mata liga malam itu, MJBowlers sekarang ini berada di tempat ketiga liga, walaupun terikat pada jumlah mata yang sama (306) dengan pasukan Daylights di tangga kedua. Pendahulu liga, pasukan Marc’s Bullocks pula hanya mendahului liga dengan perbezaan satu mata sahaja. Pusingan kelayakan liga sebelum memasuki peringkat akhir stepladder hanya berbaki  2 minggu sahaja, dan jurang untuk merebut tempat teratas liga amat rapat. 

MJBowlers selepas ini akan bertembung dengan pasukan FBI (Friendly Bowlers) pada minggu ke-13, dan FB Rhinos pada minggu ke-14 liga. Pasti strategi bagi menangani pasukan2 ini agak kritikal, bagi merebut peluang untuk merampas tempat pertama liga. Sama2 kita doakan pasukan MJBowlers mencapai kejayaan cemerlang di dalam liga ini, InshaAllah. 

~WKA~

MJBowlers membenam JBS-Pro S 22-0
Hanya 1 mata membezakan pendahulu liga pasukan Marc’s Bullocks, dengan pasukan Daylights dan MJBowlers