Tag: Kejohanan

Kejohanan Bulanan FTBJ : Pasangan Azami dan Nurhayati mencipta sejarah MJBowlers

Jeddah, 10 Februari 2019 – Kejohanan Bulanan untuk Januari 2019 dibawah anjuran FTBJ telah berlangsung di Bowling City pada 8 Februari 2019 yang lalu. Kejohanan Bulanan ini disertai oleh pemain2 dari Filipina, Saudi Arabia, United Kingdom, Syria dan Malaysia.

Sejarah Tercipta

Pasangan suami-isteri Azami Nordin dan Nurhayati Kamarudin mencipta sejarah MJBowlers apabila masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita di dalam kejohanan ini. Kejohanan kali ini juga menyaksikan pemain2 MJBowlers berjaya merebut 2 tempat teratas kategori lelaki.

Azami Kekal Fokus

Pada peringkat awal pusingan kelayakan kumpulan kelas A, Azami menempatkan diri di tempat keempat untuk layak ke pusingan seterusnya. Selepas menumpaskan 3 peserta lain di pusingan playoff, Azami bertembung pula dengan Jhune Estefano yang layak sebagai peserta tertinggi pusingan kelayakan kelas A. Azami menumpaskan Jhune dengan jumlah mata 207 berbalas 187 untuk layak ke pusingan akhir.

Dalam pusingan akhir, Azami mengekalkan fokus bagi menjuarai kejohanan ini selepas berjaya menumpaskan rakan sepasukan MJBowlers Oto Shah, serta pemain Filipina William Virgo dan Jimmy Urbano.

Nurhayati Semangat Kental

Nurhayati berjaya melayakkan diri di tempat pertama pusingan kelayakan kelas C, sebelum bertembung dengan rakan sepasukan MJBowlers Norimah Mohd Sidek di dalam pusingan separuh akhir. Persaingan sengit antara kedua-dua pemain MJBowlers ini berakhir dengan Nurhayati menumpaskan Norimah dengan jumlah mata 158 berbalas 140.

Dalam pusingan akhir, walaupun berhadapan dengan pemain2 berpengalaman Thess Grandia dan Evelyn Santoc, dengan semangat kental, Nurhayati berjuang sehingga ke saat akhir untuk memenangi kejuaraan kategori wanita.

Juara2 memenangi hadiah berbentuk wang tunai dan t-shirt khas FTBJ Monthly Champion.

Syabas diucapkan buat semua pemenang2 dalam kejohanan ini. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat buat rakan2 lain untuk meneruskan perjuangan bagi mengecapi kejayaan dan mengharumkan nama MJBowlers, InshaAllah.

Keputusan Penuh

Kategori Lelaki

  1. Azami Nordin – Juara
  2. Oto Shah – Naib Juara
  3. Suhaimie Leong – Playoff Kelas B
  4. Azmi Junaidi – Playoff Kelas C
  5. Wan Kamal – Pusingan Kelayakan Kelas B

Kategori Wanita

  1. Nurhayati – Juara
  2. Rozana – Separuh Akhir Kelas B
  3. Norimah – Separuh Akhir Kelas C
  4. Hasnah – Playoff Kelas B
  5. Azhanawati – Playoff Kelas B
  6. Syeena – Playoff Kelas B

~WKA~

Pasangan suami-isteri Azami dan Nurhayati menjuarai kategori lelaki dan wanita
Dari kiri: Juara Bulan Januari 2019 Azami Nordin, Oto Shah (Kedua), William (Ketiga) dan Jimmy (Keempat)

Dari kiri: Juara Bulan Januari 2019 Nurhayati, Thess Grandia (Kedua) dan Evelyn Santoc (Ketiga)

MJBowlers League 2018 Bowlfest : Oto Shah Juara Lelaki; Norashikin Ismail Juara Wanita

12 Januari 2019, Jeddah – Seusai 5 bulan pusingan kelayakan MJBowlers League 2018 Bowlfest, satu pertandingan akhir telah diadakan bertempat di Bowling City, Jeddah untuk menentukan kejuaraan diantara pemain-pemain MJBowlers. Didalam pertandingan akhir tersebut, Oto Shah muncul juara kategori lelaki, manakala Norashikin Ismail menjuarai kategori wanita.

Oto Shah Tenang Menumpaskan Lawan

Seramai 10 pemain layak ke pusingan akhir kejohanan untuk kategori lelaki. 3 pemain tempat teratas pusingan kelayakan, Azami Nordin (1), Oto Shah (2), dan Wan Kamal (3) mendapat kelebihan menunggu di peringkat akhir “sudden death step-ladder”. 7 pemain lain, Abdul Rashid (4), Ahmad Sharifuddin (5), Azizan (6), Suhaimie (7), Rohaizat (8), Mazlan (9) dan Azmi Junaidi (10) memasuki pusingan “play-off” bagi merebut empat tempat ke pusingan “sudden death step-ladder”.

Selepas 3 permainan pusingan “play-off”, Abdul Rashid berjaya merebut tempat teratas, diikuti oleh Rohaizat dan Suhaimie. Satu pusingan “sudden-death roll-off” dijalankan diantara Ahmad Sharifuddin dan Azmi Junaidi yang seri selepas 3 permainan, untuk menentukan tempat terakhir yang layak untuk masuk ke pusingan seterusnya. Keadaan agak tegang apabila kedua-dua pemain terus seri,  yang akhirnya dimenangi oleh Azmi Junaidi selepas balingan kelima.

Di pusingan seterusnya, Azmi Junaidi berjaya menumpaskan Suhaimie dengan jumlah mata 182 berbalas 152. Namun di pusingan berikutnya, Azmi Junaidi tumpas pula kepada Rohaizat dengan jumlah mata 156 berbalas 190. Rohaizat meneruskan aksi hebatnya dengan mengalahkan Kapten Utama MJBowlers Abdul Rashid dengan jumlah mata 181 berbalas 156 sebelum menumpaskan Wan Kamal di pusingan seterusnya dengan jumlah mata 185 berbalas 167. Aksi hebat Rohaizat tamat di peringkat separuh akhir apabila Oto Shah dengan tenang memenangi perlawanan dengan jumlah mata 191 berbalas 215.

Oto Shah memastikan kejuaraan mutlak milik beliau dengan mengalahkan Azami Nordin di peringkat akhir kejohanan dengan jumlah mata 233 berbalas 189. Dengan kejuaraan ini, Oto Shah memenangi hadiah bola bowling Motiv Trident sumbangan Coach Mus (Shawall Mustafa), beserta piala, wang tunai dan barangan kelengkapan bowling.

 

Aksi “Giant Killer” Norashikin Menggegarkan Suasana

7 pemain wanita layak ke pusingan akhir kejohanan pada kali ini, menggunakan format pertandingan “sudden-death stepladder” untuk menentukan kejuaraan mutlak kategori ini. Azhanawati layak di tempat pertama pusingan kelayakan, diikuti oleh Syeena, beserta Rozana (3), Hasnah (4), Norashikin (5), Yatie (6) dan Norimah (7).

Di permainan pertama, Yatie berjaya menumpaskan Norimah dengan jumlah mata 138 berbalas 116, untuk bertembung dengan Norashikin di peringkat seterusnya. Namun Yatie tumpas pula di peringkat ini kepada Norashikin dengan jumlah mata 144 berbalas 153. 

Dengan semangat kemenangan ini, Norashikin memulakan aksi hebat “giant killer” beliau menuju ke puncak kejayaan. Di permainan ketiga, selepas seri dengan jumlah mata 162-162, Norashikin menumpaskan Hasnah selepas satu pusingan “sudden death roll-off” dijalankan. Di pusingan seterusnya, kedua-dua pemain menggegarkan arena bowling oleh satu pertandingan sengit yang berakhir apabila Norashikin menumpaskan Rozana dengan jumlah mata 223 berbalas 191.

Norashikin mengorak langkah ke pusingan akhir apabila berjaya menumpaskan bintang muda MJBowlers Syeena di peringkat separuh akhir dengan jumah mata 191 berbalas 184. Di peringkat akhir yang agak tegang, Norashikin berjaya memastikan kejuaraan mutlak milik beliau apabila menumpaskan Azhanawati dengan jumlah mata 149 berbalas 120. Dengan kejuaraan ini, Norashikin memenangi hadiah bola bowling Brunswick Nexxus sumbangan Coach Mus (Shawall Mustafa), beserta piala, wang tunai dan barangan kelengkapan bowling.

Tahniah diucapkan buat semua pemain-pemain diatas aksi-aksi hebat di pusingan akhir, dan sepanjang kejohanan ini. Diharap kejohanan seperti ini sedikit sebanyak dapat memperbaiki mutu permainan semua pemain-pemain di masa hadapan, InshaAllah.

Untuk keputusan penuh, dan gambar-gambar peserta, sila skrol kebawah.

Layari laman FB MJBowlers untuk melihat lebih banyak gambar-gambar sepanjang kejohanan didalam album.

~WKA~

Keputusan Penuh Kategori Lelaki: Oto Shah Muncul Juara
Keputusan Penuh Kategori Wanita: Norashikin Muncul Juara
5 pemain teratas pusingan kelayakan kategori lelaki  (dari kiri): Ahmad Sharifuddin (5), Abdul Rashid (4), Wan Kamal (3), Oto Shah (2) dan Azami Nordin (1)
5 pemain teratas pusingan kelayakan kategori wanita (dari kiri): Norashikin (5), Hasnah (4), Rozana (3), Syeena (2), Azhanawati (1)
Pemenang-pemenang kategori lelaki (dari kiri): Juara Oto Shah, Naib Juara Azami Nordin, Tempat Ketiga Haji Rohaizat, Wan Kamal (4), Abdul Rashid (5), Azmi Junaidi (6) dan Suhaimie Leong (7)
Pemenang-pemenang kategori wanita (dari kiri): Juara Norashikin, Naib Juara Azhanawati, Tempat Ketiga Syeena, Rozana (4) dan Hasnah (5)
Hadiah Kejohanan MJBowlers 2018 Bowlfest
Juara Kategori Lelaki: Oto Shah bersama Norimah Sidek dan Nuh
Juara Kategori Wanita Norashikin bersama Ahmad Sharifuddin

Kejohanan Bulan Disember 2018 FEDBG: Ahmad Sharifuddin Muncul Juara

Jeddah, 16 Disember 2018 – Pemain MJBowlers Ahmad Sharifuddin bin Muhammad muncul juara bulan Disember didalam kejohanan bulanan anjuran FEDBG (Filipino Expatriate Damayan Bowling Group), di bawah pimpinan Pip Planas.

Ahmad Sharifuddin (Din) mengharungi sejumlah 6 perlawanan sengit dalam perjalanan mejuarai kejohanan bulan Disember ini. Pada peringkat awal, Din menempatkan diri di tempat keempat dalam kelompok pemain pusingan kelayakan kategori C lelaki. Selepas menumpaskan 3 pemain lain di dalam pusingan play-off, termasuk rakan pemain MJBowlers Wan Kamal Azlan, Din berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir. Din meneruskan perjalanan ke pusingan akhir selepas menumpaskan rakan pemain MJBowlers Mazlan Yaakob di pusingan separuh akhir. Di peringkat akhir, Din bertemu dengan pemain kelas O Zaldy Bacero, beserta Mhon Laxamana dan Edward Botardo. Din meneruskan aksi cemerlang, dan berjaya merebut kejuaraan mutlak selepas menumpaskan pemain-pemain lain. Kejuaraan Din ini juga merupakan kali pertama pemain MJBowlers berjaya merebut kejuaraan di dalam kejohanan bulanan anjuran FEDBG.

Sementara itu, pemain wanita MJBowlers Azhanawati Abdul Wahab pula berjaya muncul sebagai Naib Juara kejohanan ini, selepas tumpas tipis kepada Shirley Sagmit di pusingan akhir kategori wanita. Turut serta di dalam pusingan akhir ini adalah Alma Bacero (tempat ketiga) dan Melody Agbayani (tempat keempat). Azhanawati berjaya layak ke pusingan akhir selepas menempatkan diri di tempat pertama pada pusingan kelayakan kategori B wanita.

Pasukan MJBowlers mengucapkan syabas kepada kedua-dua pemain ini kerana mengharumkan nama MJBowlers di persada kejohanan bulan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pencetus semangat dan pemangkin buat rakan-rakan lain untuk turut serta memperbaiki mutu permainan dan mencapai kejayaan di masa hadapan, InshaAllah. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih buat Coach Mus (Shahwall Mustafa) yang tidak jemu memberikan bimbingan dan dorongan kepada semua pemain-pemain MJBowlers. Tidak lupa juga sekalung penghargaan buat ahli keluarga MJBowlers yang turut membantu dan menyokong pemain-pemain MJBowlers di dalam kejohanan ini.

Kejohanan Bulan Disember anjuran FEDBG, dari kiri: Juara Ahmad Sharifuddin, tempat kedua Edward Botardo, tempat ketiga Mhon Laxamana, dan tempat keempat Zaldy Bacero
Kejohanan Bulan Disember anjuran FEDBG, dari kiri: Juara Shirley Sagmit, tempat kedua Azhanawaiti Abdul Wahab, tempat ketiga Alma Bacero dan tempat keempat Melody Agbayani

Ringkasan Pencapaian Pemain Lelaki:

  1. Ahmad Sharifuddin – Juara Bulan Disember
  2. Mazlan Yaakob – Separuh Akhir (Kategori C)
  3. Mohd Nazrey – Separuh Akhir (Kategori D/E)
  4. Azami Nordin – Pusingan Playoff (Kategori A/B)
  5. Azizan Abdul Aziz – Pusingan Playoff (Kategori A/B)
  6. Wan Kamal Azlan – Pusingan Playoff (Kategori C)
  7. Azmi Junaidi – Pusingan Playoff (Kategori D/E)
  8. Suhaimi Leong – Pusingan Kelayakan (Kategori A/B)

Ringkasan Pencapaian Pemain Wanita:

  1. Azhanawati Abdul Wahab – Naib Juara Bulan Disember
  2. Hasnah Mohamad Dan – Separuh Akhir (Kategori B/C/D/E)
  3. Rozana Ahmad Zaini – Pusingan Kelayakan (Kategori B/C/D/E)
  4. Hayati Kamaruddin – Pusingan Kelayakan (Kategori B/C/D/E)
  5. Norashikin Ismail – Pusingan Kelayakan (Kategori B/C/D/E)
  6. Alyea Qistina Abdul Rashid – Pusingan Kelayakan (Kategori B/C/D/E)

-WKA-

MJBowlers Menggegarkan Kejohanan Bulanan November 2018

Jeddah, 8 Disember 2018 – Pemain-pemain MJBowlers berjaya menyinar di dalam 2 kejohanan untuk bulan November, anjuran Filipino Expatriate Damayan Bowling Group (FEDBG) dan Filipino Tenpin Bowlers Jeddah (FTBJ), baru-baru ini.

Kejohanan bulanan anjuran FEDBG, telah berlangsung pada 30 November 2018, bertempat di Bowling City, Sultana Mall, Jeddah. Penyertaan terdiri dari pemain-pemain Filipina, Saudi Arabia dan MJBowlers. Dalam perjalanan ke peringkat akhir, pemain MJBowlers Wan Kamal Azlan berjaya menumpaskan juara bulan Oktober, Ian Caringal dalam satu pertarungan sengit di separuh akhir. Wan Kamal, yang juga dikenali dengan nama jolokan “Bulldozer”, merangkul tempat ketiga selepas bertarung dengan 3 lagi pemain yang layak ke pusingan akhir. Kejohanan dimenangi oleh Richard B. Antonio, diikuti oleh Allan Narciso di tempat kedua, sementara pemain bowling kebangsaan Saudi Arabia Kemo @ Kamal A Felemban menduduki tempat keempat.

Kejohanan bulanan anjuran FTBJ pula telah berlangsung pada 7 Disember 2018, bertempat di Bowling City. Kejohanan kali ini berlangsung serentak dengan perlawanan liga FTBJ Friday Night League. Pemain-pemain yang berentap semasa liga berlangsung juga mempunyai peluang untuk merebut kemenangan di dalam kejohanan kali ini.

Pemain MJBowlers Mohd. Shahrizan (Oto) berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir selepas menumpaskan lawan Romel Agbayani di peringkat separuh akhir. Oto merangkul tempat keempat di pusingan akhir selepas bertemu dengan 3 lagi pemain. Kejohanan dimenangi oleh pemain berasal dari UK, Marc Clifford, diikuti oleh pemain kebangsaan Saudi Arabia Kemo @ Kamal A Felemban dan pemain Filipina June Estefano.

Pemain muda MJBowlers Syasina Shahrizan (Syeena) berjaya menjadi johan bulanan untuk kali ketiga pada tahun ini. Syeena layak ke peringkat akhir, selepas menumpaskan lawan di peringkat separuh akhir, pemain Filipina Melody Agbayani. Seorang lagi pemain MJBowlers, Azhanawati Abdul Wahab juga layak ke peringkat akhir, selepas menumpaskan pemain Filipina Evelyn Santoc. Syeena merangkul kejuaraan bulan November diikuti oleh Azhanawati dan pemain Filipina Shirley Sagmit.

Pemain-pemain MJBowlers ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan bimbingan dari Coach Mus (Shahwall Mustafa). Diharap kejayaan MJBowlers disini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan terhadap masa-masa bersama Coach Mus. Semoga kejayaan yang dikecapi ini berterusan dan bertambah lagi untuk dikecapi bersama, InshaAllah. 

 

Kejohanan Bulan November anjuran FEDBG, dari kiri: Juara Richard B. Antonio, tempat kedua Allan Narciso, tempat ketiga Wan Kamal Azlan dan tempat keempat Kemo Felemban
Kejohanan Bulan November anjuran FTBJ, dari kiri: Juara Marc Clifford, tempat kedua Kemo Felemban, tempat ketiga Jun Estefano dan tempat keempat Mohd Shahrizan
Kejohanan bulan November anjuran FTBJ, dari kiri: Juara Syeena Shahrizan, tempat kedua Azhanawati Abdul Wahab, dan tempat ketiga Shirley Sagmit
Juara Syeena bersama Oto, dan ketua penganjur kejohanan FTBJ, Igna Salgado