Tag: FTBJ

Kejohanan Bulanan FTBJ : Pasangan Azami dan Nurhayati mencipta sejarah MJBowlers

Jeddah, 10 Februari 2019 – Kejohanan Bulanan untuk Januari 2019 dibawah anjuran FTBJ telah berlangsung di Bowling City pada 8 Februari 2019 yang lalu. Kejohanan Bulanan ini disertai oleh pemain2 dari Filipina, Saudi Arabia, United Kingdom, Syria dan Malaysia.

Sejarah Tercipta

Pasangan suami-isteri Azami Nordin dan Nurhayati Kamarudin mencipta sejarah MJBowlers apabila masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita di dalam kejohanan ini. Kejohanan kali ini juga menyaksikan pemain2 MJBowlers berjaya merebut 2 tempat teratas kategori lelaki.

Azami Kekal Fokus

Pada peringkat awal pusingan kelayakan kumpulan kelas A, Azami menempatkan diri di tempat keempat untuk layak ke pusingan seterusnya. Selepas menumpaskan 3 peserta lain di pusingan playoff, Azami bertembung pula dengan Jhune Estefano yang layak sebagai peserta tertinggi pusingan kelayakan kelas A. Azami menumpaskan Jhune dengan jumlah mata 207 berbalas 187 untuk layak ke pusingan akhir.

Dalam pusingan akhir, Azami mengekalkan fokus bagi menjuarai kejohanan ini selepas berjaya menumpaskan rakan sepasukan MJBowlers Oto Shah, serta pemain Filipina William Virgo dan Jimmy Urbano.

Nurhayati Semangat Kental

Nurhayati berjaya melayakkan diri di tempat pertama pusingan kelayakan kelas C, sebelum bertembung dengan rakan sepasukan MJBowlers Norimah Mohd Sidek di dalam pusingan separuh akhir. Persaingan sengit antara kedua-dua pemain MJBowlers ini berakhir dengan Nurhayati menumpaskan Norimah dengan jumlah mata 158 berbalas 140.

Dalam pusingan akhir, walaupun berhadapan dengan pemain2 berpengalaman Thess Grandia dan Evelyn Santoc, dengan semangat kental, Nurhayati berjuang sehingga ke saat akhir untuk memenangi kejuaraan kategori wanita.

Juara2 memenangi hadiah berbentuk wang tunai dan t-shirt khas FTBJ Monthly Champion.

Syabas diucapkan buat semua pemenang2 dalam kejohanan ini. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat buat rakan2 lain untuk meneruskan perjuangan bagi mengecapi kejayaan dan mengharumkan nama MJBowlers, InshaAllah.

Keputusan Penuh

Kategori Lelaki

  1. Azami Nordin – Juara
  2. Oto Shah – Naib Juara
  3. Suhaimie Leong – Playoff Kelas B
  4. Azmi Junaidi – Playoff Kelas C
  5. Wan Kamal – Pusingan Kelayakan Kelas B

Kategori Wanita

  1. Nurhayati – Juara
  2. Rozana – Separuh Akhir Kelas B
  3. Norimah – Separuh Akhir Kelas C
  4. Hasnah – Playoff Kelas B
  5. Azhanawati – Playoff Kelas B
  6. Syeena – Playoff Kelas B

~WKA~

Pasangan suami-isteri Azami dan Nurhayati menjuarai kategori lelaki dan wanita
Dari kiri: Juara Bulan Januari 2019 Azami Nordin, Oto Shah (Kedua), William (Ketiga) dan Jimmy (Keempat)

Dari kiri: Juara Bulan Januari 2019 Nurhayati, Thess Grandia (Kedua) dan Evelyn Santoc (Ketiga)

ICBL 41st Conference, Minggu ke-15: Kedai Asia Kekal Di Tangga Teratas Liga

Jeddah, 29 Januari 2019 – Seusai minggu ke-15, pasukan Kedai Asia masih lagi mengekalkan kedudukan di tempat pertama liga Inter Company Bowling League (ICBL) anjuran FTBJ.

Pada minggu ke-15 ini, gandingan Tariq Antonio (RBA) di posisi driver bersama Suhaimie Leong di posisi anchor berserta Azizan Abdul Aziz, Azhanawati dan Wan Kamal diturunkan untuk berentap dengan misi mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Ternyata strategi ini membuahkan hasil apabila pasukan Kedai Asia berjaya mengumpul sejumlah 30 mata mingguan dengan jumlah jatuhan pin sebanyak 2,952. Jumlah keseluruhan di tempat pertama setakat ini adalah sebanyak 467.5 mata, diikuti pencabar terdekat CEE BEE Aviation dengan 451.5 mata, dan Ekis Reload-5 di tempat ketiga dengan 398 mata.

Pusingan liga hanya berbaki 4 minggu sahaja lagi dan persaingan semakin sengit. Semoga semua pemain2 dapat meningkatkan lagi usaha untuk memantapkan permainan dan mengekalkan kedudukan sehingga akhir liga, InshaAllah.

~WKA~

Kedai Asia mengekalkan kedudukan di tempat pertama liga.
Kedai Asia mengumpulkan sejumlah 30 mata pada minggu ke-15 liga ICBL
Tariq Antonio, Suhaimie Leong, Azizan Abdul Aziz, Azhanawati dan Wan Kamal mewakili Kedai Asia minggu ke-15 liga ICBL

Keputusan FTBJ Monday Night League: MJBowlers Naib Juara

Jeddah, 8 Januari 2019 – Satu perlawanan pusingan akhir telah berlangsung pada hari Isnin, 7 Januari 2019 sebagai penutup tirai Kejohanan Monday Night League, anjuran Filipino Tenpin Bowling Jeddah (FTBJ). Untuk liga ini, pasukan MJBowlers diketuai oleh Ahmad Sharifuddin bin Muhammad selaku kapten pasukan, sambil dibantu oleh Kapten Utama MJBowlers Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai penasihat teknikal dan strategi.

Seusai 15 pusingan liga, pasukan MJBowlers berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir “stepladder” di tempat kedua di belakang pasukan Bowling City yang diketuai oleh Igna Salgado. Pasukan-pasukan lain pula berentap di “play-off round” untuk mencari satu pasukan lagi yang akan memasuki pusingan “stepladder”. Selepas saingan sengit sebanyak 2 perlawanan, pasukan Deaf Club Jeddah (DCJ) dari Saudi Arabia berjaya menempatkan diri di tangga teratas pusingan “play-off round” dan melayakkan diri untuk bertemu pasukan MJBowlers di dalam “stepladder finals”.

Pasukan MJBowlers diwakili oleh Mohd Sharizan (Oto) di posisi driver, bersama-sama Azizan Abdul Aziz, Abdul Rashid dan Norazami Nordin bermain di posisi anchor. Pasukan DCJ pula diwakili oleh pemain-pemain tempatan, Mohsein, Bilal, Fahd dan Bassam. Dalam perlawanan ini, strategi MJBowlers untuk menyekat kemaraan DCJ dengan mengawal permainan sejak dari awal lagi, dan mematahkan rentak pemain-pemain DCJ yang lebih selesa dengan permainan yang pantas. 

Di pusingan akhir, MJBowlers bertembung pula dengan pasukan tempat yang layak di tempat pertama, Bowling City. Pasukan BC ini diwakili oleh pemain kelahiran Saudi Arabia, Kamal Felemban (Kemo) bersama-sama Romel Gallasinao Agbayani, Igna Salgado dan Sammy. Kemo baru-baru ini telah menjuarai Kejohanan Bowling Saudi Arabia Ke-15, anjuran Persatuan Bowling Saudi Arabia. Pasukan MJBowlers mengekalkan pemain-pemain dari perlawanan pertama dengan hanya pertukaran strategi minimal dimana Wan Kamal bermain di posisi anchor.

Walaupun memberikan tentangan yang sengit, pasukan MJBowlers tumpas dengan jumlah mata scratch 776 berbalas 813.

Perjalanan dan perjuangan MJBowlers masih belum tamat, dan pencapaian pasukan dibawah bimbingan Ahmad Sharifuddin untuk musim ini boleh dibanggakan. Semoga pencapaian ini menjadi pencetus semangat dan pemangkin untuk semua pemain-pemain berusaha dengan lebih giat untuk mengharumkan nama pasukan MJBowlers di masa hadapan, InshaAllah.

Pasukan MJBowlers juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih buat Coach Mus (Shawall Mustafa) yang sentiasa sudi dan sabar untuk memberikan bimbingan dan dorongan sepanjang perjalanan liga ini. Tidak lupa juga penghargaan buat ahli keluarga MJBowlers yang turut datang memberikan sokongan semasa pertandingan akhir dan juga sepanjang kejohanan ini.

Untuk pusingan seterusnya, pasukan MJBowlers akan di pimpin oleh pemain berkaliber, Mazlan Yaakob, serta dibantu oleh Azizan Abdul Aziz. Semoga kejuaraan milik MJBowlers pula kali ini, InshaAllah.

~WKA~

Pasukan MJBowlers (dari kiri): Norazami Nordin (OSU), Mohd. Shahrizan (Oto), Wan Kamal (Bulldozer), Hj. Rohaizat Kamisan, Mazlan Yaakob, Kapten Liga Isnin Ahmad Sharifuddin, Kapten Utama MJBowlers Abdul Rashid dan Azizan Abdul Aziz (The Stinger).
Keptutusan Perlawanan Akhir MJBowlers tumpas kepada Bowling City 776 – 813

 

Skrol ke bawah untuk melihat gambar-gambar sekitar perlawanan akhir Liga Monday Night.

 

 

MJBowlers Menggegarkan Kejohanan Bulanan November 2018

Jeddah, 8 Disember 2018 – Pemain-pemain MJBowlers berjaya menyinar di dalam 2 kejohanan untuk bulan November, anjuran Filipino Expatriate Damayan Bowling Group (FEDBG) dan Filipino Tenpin Bowlers Jeddah (FTBJ), baru-baru ini.

Kejohanan bulanan anjuran FEDBG, telah berlangsung pada 30 November 2018, bertempat di Bowling City, Sultana Mall, Jeddah. Penyertaan terdiri dari pemain-pemain Filipina, Saudi Arabia dan MJBowlers. Dalam perjalanan ke peringkat akhir, pemain MJBowlers Wan Kamal Azlan berjaya menumpaskan juara bulan Oktober, Ian Caringal dalam satu pertarungan sengit di separuh akhir. Wan Kamal, yang juga dikenali dengan nama jolokan “Bulldozer”, merangkul tempat ketiga selepas bertarung dengan 3 lagi pemain yang layak ke pusingan akhir. Kejohanan dimenangi oleh Richard B. Antonio, diikuti oleh Allan Narciso di tempat kedua, sementara pemain bowling kebangsaan Saudi Arabia Kemo @ Kamal A Felemban menduduki tempat keempat.

Kejohanan bulanan anjuran FTBJ pula telah berlangsung pada 7 Disember 2018, bertempat di Bowling City. Kejohanan kali ini berlangsung serentak dengan perlawanan liga FTBJ Friday Night League. Pemain-pemain yang berentap semasa liga berlangsung juga mempunyai peluang untuk merebut kemenangan di dalam kejohanan kali ini.

Pemain MJBowlers Mohd. Shahrizan (Oto) berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir selepas menumpaskan lawan Romel Agbayani di peringkat separuh akhir. Oto merangkul tempat keempat di pusingan akhir selepas bertemu dengan 3 lagi pemain. Kejohanan dimenangi oleh pemain berasal dari UK, Marc Clifford, diikuti oleh pemain kebangsaan Saudi Arabia Kemo @ Kamal A Felemban dan pemain Filipina June Estefano.

Pemain muda MJBowlers Syasina Shahrizan (Syeena) berjaya menjadi johan bulanan untuk kali ketiga pada tahun ini. Syeena layak ke peringkat akhir, selepas menumpaskan lawan di peringkat separuh akhir, pemain Filipina Melody Agbayani. Seorang lagi pemain MJBowlers, Azhanawati Abdul Wahab juga layak ke peringkat akhir, selepas menumpaskan pemain Filipina Evelyn Santoc. Syeena merangkul kejuaraan bulan November diikuti oleh Azhanawati dan pemain Filipina Shirley Sagmit.

Pemain-pemain MJBowlers ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dan bimbingan dari Coach Mus (Shahwall Mustafa). Diharap kejayaan MJBowlers disini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan terhadap masa-masa bersama Coach Mus. Semoga kejayaan yang dikecapi ini berterusan dan bertambah lagi untuk dikecapi bersama, InshaAllah. 

 

Kejohanan Bulan November anjuran FEDBG, dari kiri: Juara Richard B. Antonio, tempat kedua Allan Narciso, tempat ketiga Wan Kamal Azlan dan tempat keempat Kemo Felemban
Kejohanan Bulan November anjuran FTBJ, dari kiri: Juara Marc Clifford, tempat kedua Kemo Felemban, tempat ketiga Jun Estefano dan tempat keempat Mohd Shahrizan
Kejohanan bulan November anjuran FTBJ, dari kiri: Juara Syeena Shahrizan, tempat kedua Azhanawati Abdul Wahab, dan tempat ketiga Shirley Sagmit
Juara Syeena bersama Oto, dan ketua penganjur kejohanan FTBJ, Igna Salgado