KMH Pertandingan Bowling Berpasukan 2017

JEDDAH: Minggu sudah Kesatuan Malaysia Hijazi (KMH) telah dengan jayanya menganjurkan Pertanding Bowling Berpasukan 2017 yang bertempat di Jeddah Lanes, Jeddah dengan usahasama mantap MJ Bowlers. Pasukan yang berentap adalah daripada kalangan ahli MJ Bowlers sendiri dan juga pemain-pemain yang tidak kurang hebatnya dari Yanbu, Rabigh dan Makkah.

Selaku penaja utama pertandingan, Aljazira Takaful Ta’awuni, juga sempat menawarkan produk takaful hayat bagi kesemua para hadirin di mana mereka yang berminat perlu hanya mengisi borang. Mereka diberi pilihan untuk menyertai “Retirement Plan – Sakha” yang berupa pelan persaraan ala skim pencen / EPF atau pun “Family Protection Plan – Deera” yang bertujuan memberi jaminan berupa wang pampasan jika berlaku kematian atau kecacatan kekal kepada pencarum.

Majlis dibuka dengan bacaan doa dan diikuti oleh ucapan oleh Dato’ Mohammad Ali bin Selamat selaku Konsul Jeneral Jeddah. Beliau telah mengingatkan betapa pentingnya beriadah sambil mengeratkan silaturrahim di kalangan rakyat Malaysia di sini dan tidak lupa juga dalam menyelesaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi sama ada secara pos atau pulang ke tanah air apabila pilihanraya ke-14 diadakan kelak.  Presiden KMH, Tuan Haji Affendy Zulkifli kemudiannya menyusul dengan sepatah dua kata dan akhirnya kapten MJ Bowlers, Tuan Haji Abdul Rashid dengan “safety demo” ketika pertandingan berlangsung.

Pertandingan dibahagikan kepada dua sesi iaitu di sebelah pagi dan sebelah petang. Cabutan “lane” telah dilakukan dua hari sebelumnya menerusi “Facebook Live”. Pasukan “Pin Strikers”, “Consistent” dan “Perfect Roll” boleh dikatakan pasukan “favourites” untuk menang dalam pertandingan kali ini namun pasukan dari “Konsulat Premier” juga tidak boleh dipandang enteng. Strategi dengan menggunakan “handicap system” juga sangat membantu. Apapun pasukan yang mencuit hati para hadirin tidak lain dan tidak bukan adalah pasukan “Spare Me” yang dianggoti Tuan Haji Hairul dan keluarganya anak-beranak dengan gaya mereka yang sempoi. Sesi pertama disudahi dengan penglibatan pasukan-pasukan lain seperti Tabung Haji A, Konsulat Super yang periang, Geng Yanbu yang gigih training di pusat bowling Yanbu yang baru, Shuhaiba Power yang cukup power, pasukan Belasah yang sememangnya main belasah sahaja tetapi tidak pula dibelasah, Team KMH, Prasarana 1, Rabigh dan Balun.

Pertandingan diberhentikan buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada solat Zohor berjemaah. Para hadirin juga sempat diberi santapan istimewa daripada coffeeshop Jeddah Lanes. Sesi kedua kemudiannya bersambung dengan penampilan pasukan-pasukan yang tidak kurang hebatnya termasuk “Sandtroopers” yang dibintangi seorang bekas pemain negara. MJ Bowlers juga  bertindak mencari prospek-prospek yang boleh memantapkan lagi team MJ Bowlers sedia ada. “Pin Pushers” juga antara yang “favourite” untuk pertandingan kali ini. Prasarana kali ini merupakan syarikat yang paling banyak menghantar pasukan mereka iaitu sebanyak 4 pasukan di mana 3 daripadanya bermain pada sesi petang. Selain itu, Tabung Haji B, satu-satunya all-girl team “KFSH & RC”,  “Warrior” yang dibintangi Tuan Haji Mazlan, “Padu”, “Al-Malayou”, “Tweed Boys” yang misteri dan juga pasukan bidan terjun “Babusong”.

Diadakan juga cabutan bertuah bagi para peserta serta sesi pilihan baju uniform terbaik oleh Abdul Rahman Juffry, Mohamad Hesnawi dan Mohd Azrul daripada Aljazira Takaful. Setiap pasukan telah memperagakan pakaian masing-masing dan hasil daripada pengamatan yang dibuat secara telus dan saksama, pasukan “Pin Strikers” telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori ini. Baju mereka yang bercorak warna-warni dan dipakai oleh kesemua anggota pasukan termasuk wanita telah menggamit perhatian para pengadil.

Kesudahannya, pasukan “Consistent” telah muncul juara dengan Jumlah Keseluruhan Jatuhan Pin sebanyak 1,310. Tuan Haji Suhaimie Leong dari pasukan yang sama juga telah berjaya merangkul pingat emas bagi kategori individu lelaki dengan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 412. Berat mata (pasukan lain) memandang, berat lagi leher Suhaimie Leong yang memikul bukan hanya satu, tetapi dua pingat emas yang dimenangi beliau. Bagi kategori perempuan individu pula, tempat pertama telah dimenangi oleh Puan Mariam Alyahya dengan jatuhan pin keseluruhan sebanyak 317. Tempat kedua berpasukan telah dimenangi oleh kumpulan “Pin Pushers” (1,219 jatuhan pin) dan diikuti dengan “Pin Strikers” (1,210). Hadiah khas telah diberikan kepada Pasukan “Babusong” atas dasar sportmanship yang ditunjukkan oleh mereka.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang! Keputusan penuh boleh didapati di sini.

Juara Pasukan “Consistent” diikuti oleh “Pin Pushers” dan “Pin Strikers”

Sebahagian peserta wanita dalam Bowling Berpasukan 2017

Pemenang Kategori Uniform Terbaik ditaja oleh Aljazira Takaful

Wanita Terbaik Mariam Alyahya dari pasukan “Sandtroopers”

Lelaki Terbaik Suhaimie Leong dari pasukan “Consistent”