Naib Juara SPMBL-9 Milik MJ Bowlers.

Bowling City- Jeddah, Pada hari sabtu yang lepas iaitu bersamaan dengan 7 April 2018, satu lagi kejayaan dijelmakan dari barisan pemain MJ Bowlers yang bertarung di “Final Step Ladder” SPMBL siri ke 9 ini. Kejohanan yang dianjurkan secara liga selama 18 minggu  dan berakhir pada sabtu yang lepas.

Siri ke 9 ini menampilkan 8 pasukan yang bertanding  dan dalam siri kali ini MJ Bowlers tidak begitu mencabar kedudukan liga dari seawal minggu pertama dijalankan.   MJ Bowlers banyak menengahkan muka-muka baru dan memberi pendedahan kepada skuad pelapis untuk ditampilkan pada kejohanan besar yang lain. Disebabkan itulah kedudukan MJ Bowlers sentiasa berada di sekitar kedudukan ke 5 dan ke 6 sahaja sehinggalah ke minggu ke 16 iaitu minggu “Knock Out Round”.

Di Minggu -16 “Knock Out Round”  MJ Bowlers sudah mengorak langkah awal dengan  terselamat dari penyingkiran dan merupakan  pasukan ke 5 layak ke “Final Step Ladder” dan 3 pasukan lain tercicir iaitu  pasukan Triple XXX, BCT OM,JBS-PPS Bowl. Mengiringi  MJ Bowlers dari “Knock out Round” ini adalah pasukan  SNAP CREATION.

 

Perlawanan pertama “Step Ladder” antara MJ Bowlers dan SNAP Creation yang  berlangsung hanya 1 game sahaja untuk terus melangkah dan mencabar pasukan seterusnya dari pasukan Nilobabes.

Snap Creation boleh dikira pasukan Favourite untuk mengatasi MJ Bowlers yang mana Snap Creation diperkuatkan oleh pemain yang berkalibar dibarisi pemain seperti OCA ( Kelas O), Lyn ( kelas D), Chesar ( Kelas C) dan  Gary ( kelas C). Manakala percaturan MJ Bowlers untuk di “Final Step Ladder” ini menampilkan Suhaimie ( Kelas C), Yatie ( Kelas D), Azizan ( Kelas C) dan Azami ( kelas C).

Kapten MJ Bowlers membawa masuk “Ayam Laga” MJ Bowlers iaitu Azizan untuk membuat kejutan dan percaturan yang mana Azizan adalah pemain tangan kidal dan sudah tentu memberikan sedikit positif impak pada pasukan MJ Bowlers, manakala Yatie adalah pemain wanita yang julung-julung kali dimasukkan di pentas akhir ini  dan ditugaskan mengimbangi pemain Snap Creation iaitu Lyn.

 

Percaturan MJ Bowlers berjaya menjinakkan Snap Creation dengan jumlah jatuhan pin  675 berbalas 642  dan seperti yang diperkatakan sebelum ini “Ayam Laga” MJ Bowlers begitu mudah menyerap tekanan yang diberikan oleh Snap Creation.

Lawan Seterusnya adalah pertemuan antara MJ Bowlers dan Nilobabes yang mana Nilobabes juga membariskan pemain yang berkualiti iaitu Nezar, Lito, Lou dan Macky. Bagi MJ Bowlers pula percaturan baru digunakan dengan memasukkan Hasnah dan mengeluarkan Yatie bagi mengimbangi Lou yang begitu konsisten sepanjang musim ini. Menurut pandangan kapten MJ Bowlers,Hasnah dan Lou adalah penentu bagi pertembungan ini.

 

Pengamatan kapten MJ Bowlers tepat sekali lagi, yang kemampuan hasnah memberikan tekanan dan saingan  kepada Lou dengan mengikat mata demi mata yang cuba dikutip oleh jatuhan pin Lou. Azizan pula terus mengorak langkah dengan bergaya dan membuat balingan 215 diikuti oleh Suhaimie 203 dan Azami pula dengan 179   MJ Bowlers telah mengorak langkah seterusnya setelah berjaya menafikan Nilobabes dengan jumlah jatuhan pin 780 berbalas  768.

Pertembungan seterusnya adalah antara Lance &3Rdy dan lawan MJ Bowlers, Lance &3Rdy adalah salah  satu dari musuh tradisi bagi  MJ Bowlers di beberapa kejohanan yang lain selain di SPMBL ini. Kekuatan Lance &3Rdy ini boleh dikatakan seimbang dan di kemudi oleh Ric pemain kelas O dan pemain wanita nya yang baru-baru ini dinobatkan sebagai “Champion Of The Month” iaitu Evelyn. Pasukan ini diperkuatkan oleh muka baru iaitu Jayme dan Med ( Kelas B).  MJ Bowlers terus mengekalkan barisan pemain yang sudah menampakkan kesesuaian setelah menewaskan Nilobabes diperingkat sebelum ini.

 

MJ Bowlers terus bergaya dengan membuat jatuhan pin sebanyak 714 berbalas 623. Kali ini Azami dan Azizan menghukum pasukan Lance 3Rdy dengan balingan padu masing-masing 191 dan 214 sekali gus MJ Bowlers mara ke peringkat penentu iaitu bertemu AFM Delights yang menunggu dengan penuh debaran atas kemaraan MJ Bowlers seawal pukul 2 petang lagi.

AFM Delights  merupakan pasukan yang terkuat di dalam pertandingan siri ke-9 ini dan ini boleh dilihat dari kemampuan bertahan di tangga pertama liga selama 16 minggu tanpa digugat oleh mana-mana pasukan. Kekuatan pasukan ini terletak kepada 2 pemain utama iaitu Zaldy (Kelas O) dan Pinky ( Kelas A) dan ditambah lagi dengan AbdulFatah dan Dilon . Peringkat akhir ini, MJ Bowlers terus mengekalkan pemain iaitu Suhaimie, Hasnah, Azizan dan Azami.

AFM Delights seolah-olah sudah menjangka “Final Showdown” ini  banyak mengenai cara mendominasi lane yang sudah sedikit kering dan ini dapat diperhatikan pemain-pemain AFM mencuba pelbagai bola semasa “Shadow Bowl” dijalankan.

Dengan keadaan lane yang kering, balingan yang banyak tersasar samada “overhook ” atau “Flat Washout” memperlihatkan jumlah balingan begitu rendah bagi kedua-dua pasukan samada dari AFM Delights maupun MJ Bowlers.

MJ Bowlers tewas  ditangan AFM Delight dengan 683 berbalas 649 dan dilihat Azizan ” Ayam Laga” MJ Bowlers terus berjaya mengekalkan momentum tangan kidalnya sehingga ke akhir pertandigan. Suhaimie dan Azami gagal mengimbangi Zaldy dan AbdulFatah  yang juga boleh dikatakan agak menurun permainan akibat “OIL Condition”.  Hasnah pula banyak melepaskan peluang  “Spare”  yang boleh merubah markah di scoreboard. 

Perbincangan kapten dan jurulatih Mustafa akan prestasi pemain di pentas akhir ini banyak berkisar kepada meningkatkan keupayaan “SPARE” dan mampu membuat keputusan menukar bola sekiranya Lane Condition tidak mengizinkan. Pemain harus bersedia untuk membuat “adjustment” bagi berhadapan situasi seperti ini di kemudian hari.

Namun begitu kegagalan ini bukan lah dianggap kegagalan mutlak tetapi ianya merupakan kejayaan jati diri pemain. Bermain dari “Step Ladder” awal dan mengharungi satu demi satu pasukan lawan haruslah dibanggakan oleh warga MJ Bowlers.  Ketenangan pemain mengawal degupan jantung dan darah gemuruh dan dalam masa yang sama mampu menumpaskan pasukan yang jauh lebih kuat keupayaannya. 

Kedudukan naib juara dalam SPMBL siri ke-9 ini telah memperbaiki rekod peribadi MJ Bowlers yang mana sebelum ini iaitu pada SPMBL siri -8 MJ Bowlers hanya mampu berada di tempat ketiga.  Di Kejohanan ini Azizan atau dikenali sebagai “Stinger” banyak memainkan peranan  membantu pasukan MJ Bowlers sebagai “Team Work” yang boleh diharapkan seperti carta prestasi pemain yang direkodkan.