FTBJ Monthly Tournament – April 2018

27 April 2018, Bowling City- Jeddah – ICBL menganjurkan “Monthly Tournament” untuk bulan April 2018. Kali ini, wakil dari MJ Bowlers yang turut serta dalam pertandingan ini adalah Suhaimie Leong, Ahmad Shariffudin, Oto Syahrizan dan Wan Kamal. Berbanding bulan-bulan sebelum ini, penyertaan dari wanita agak memberangsangkan dengan kehadiran Hasnah, Rozana, Azhanawati, Ima, Hayatie dan pemain muda harapan, Syeena.

Kesemua peserta lelaki MJBowlers bertarung di dalam kumpulan kelas yang sama, iaitu kelas B. Manakala bagi pemain MJBowlers wanita, Hasnah dan Rozana mewakili kelas B, sementara peserta wanita yang lain mewakili kelas C.

Selepas berakhirnya peringkat pertama (Qualification Round), Suhaimie layak ke peringkat seterusnya setelah berjaya menempatkan diri di dalam kelompok tempat kelima ke atas di dalam kelas B.

Manakala untuk peserta wanita pula, Rozana dan Hasnah layak ke peringkat seterusnya untuk kelas B, dan Azhanawati layak untuk kelas C.

Di peringkat berikut, Suhaimie berjaya menewaskan 3 lawannya dalam pusingan “playoff”, untuk layak ke pusingan seterusnya dan bertemu dengan pemain tempat pertama kelas B iaitu Ryan, bagi menentukan juara mutlak kelas B. Selepas mengharungi perlawanan yang agak sengit antara kedua-dua pemain ini, Suhaimie berjaya menundukkan pihak lawan walaupun dengan perbezaaan mata yang agak kecil. Di pusingan akhir, semua juara kelas masing-masing berentap, dimana Suhaimie memberikan tentangan yang hebat, namun hanya mampu menempatkan diri di tempat keempat secara kesuluruhan bagi kategori lelaki, di belakang juara keseluruhan Jayme (kelas C), Ric (kelas O) dan Mhon (kelas A).

Bagi kategori wanita kelas B pula, Hasnah berjaya menewaskan peserta-peserta lain didalam pusingan “playoff” untuk layak bertemu dengan pemain tempat pertama kelas tersebut, iaitu Evelyn, namun gagal menyekat kemaraan pemain berpengalaman itu yang layak ke peringkat akhir. Bagi kelas C pula, Azhanawati berjaya layak ke pusingan seterusnya untuk bertemu dengan pemain dari Filipina, iaitu Lyn Lopez untuk penentuan juara mutlak kelas C. Dalam pertemuan yang agak sengit di antara kedua pemain ini, Azhanawati berjaya mengekalkan tumpuan dalam permainan dan mengutip mata penting melalui “spares conversion”, untuk memenangi perlawanan dan melayakkan diri ke peringkat akhir. Di perlawanan akhir, Azhanawati bertemu pula juara Kelas A, Pinky dan juara Kelas B, Evelyn, dimana perjuangannya berakhir sebagai Naib Juara kategori wanita, dibelakang pemain berpengalaman luas, Pinky.

Tahniah diucapkan buat semua pemain-pemain yang berani menyahut cabaran di dalam pertandingan bulan ini. Semoga semua pemain-pemain MJBowlers akan meneruskan usaha dan perjuangan untuk memantapkan permainan.